Thursday, August 16, 2007



Seindah Senyuman Seikhlas Ucapan Sejujur Kelakuan...amin!

Sunday, July 08, 2007

Muallaf Pulau Ketam: Uzlah Menuju Al-Falah

Oleh: Hamizul Abdul Hamid (U-HAH)

12 Feb 2007, Pulau Ketam – Tercatat sudah di dalam al-Quran, ansaf yang muqaddam itu ada empat. Sesudah fakir dan miskin serta amil, menyusul muallaf mengambil tempat. Lalu, demi merealisasikan keprihatinan itu, Lembaga Zakat Selangor (MAIS) menyusun agenda khusus di bumi terapung Pulau Ketam. Terasing dari keributan kota sejauh kira-kira 45 km jaraknya, bermastautin kira-kira 25 orang saudara baru yang tegar menongkah arus waktu dengan iman terus tersemat di kalbu.

Perjalanan awal ditandai cabaran bagi mereka yang tidak mesra dengan lautan, iaitu meredah ombak dalam cempungan waktu mampir satu jam. Namun, demi mengukuhkan sebuah tautan ukhuwwah bersama asnaf muallaf yang terdapat di situ, perjalanan yang lama bagai sekejap terasa berlalu.

LZS (MAIS) pastinya tidak bersendirian dalam misi menjejak ukhuwwah itu. Demi menzahirkan bahawa kewajipan berzakat diiringi dengan ketelusan dalam agihannya, maka LZS (MAIS) turut mempelawa pelbagai wakil korporat dan juga organisasi media untuk turut serta. Kami sempat memesrai di antara satu sama lain sepanjang perjalanan.

Namun, satu perkara yang terus mengusik kalbu ialah, bagaimanakah gayanya saudara seakidah di sana. Teruja di hati mengenangkan saudara baru di pulau terpencil berkeluasan sekadar 22 hektar itu pernah beberapa kali dipalit sendu lantaran kononnya terbiar tanpa peduli walau dari sesiapa, sehingga ramai bertanya ke mana menghilangnya si pembela? Benarkah mereka kini hanyut dalam alpa? Lalu saya memutuskan, biarlah mata dan hati ini menjadi saksi. Biarlah akal dan budi ini sendiri mengahkimi.

Pulau Ketam masih kejauhan tatkala beberapa wartawan mengerumuni seorang pegawai dari Unit Pembangunan Insan MAIS, Saudara Daniel Tan Abdullah, 35. Tenang raut wajahnya berbaju potongan cekak musang melayani pertanyaan demi pertanyaan dari para wartawan. Menurut beliau, lebih 95 peratus penduduk di Pulau Ketam adalah berbangsa Cina dengan lebih 95 peratus juga beragama Budha di samping ada yang beragama Kristian. Ini bermakna, jika dianggarkan wujud 30 orang saudara baru, maka mereka dikelilingi oleh lebih 10,000 orang yang berbeza akidah dan fahaman. Bagaimanakah mereka mampu menjalankan rutin hidup dengan aman? Tidak wujudkah diskriminasi kaum atau agama seperti yang lazim terjadi di beberapa wilayah lain di luar negara? Apa yang paling mencuit minda, sejauh manakah mereka beruapaya mengekang iman di dada?

Setelah merempuh ombak mengoleng diri sejauh kira-kira 45 km, akhirnya dari kejauhan sudah terpamer wajah berbalam Pulau Ketam. Tercetus di hati betapa beraninya mereka yang tinggal di pulau sepencil ini. Jauh dari dunia luar dan cuma mampu dihubungkan dengan kapal, bot atau feri. Tidak terbayangkan jika diri ini perlu melunaskan masa, membilang hari demi hari atas tanggungjawab kerja yang hakiki, menjadi polis atau guru sekolah misalnya. Mampukah saya? Sukar memberikan jawapan justeru diri sudah terbiasa dalam suasana bandar yang lengkap serba-serbi.

Tali dihulur disambut cekatan. Di atas pelantar jeti sudah sedia menanti wajah-wajah tua yang sekilas pandang sudah terpamer riak kematangannya. Matang dalam meladeni hidup di perut alam. Pakcik tua yang kuyakini adalah muslim sepertiku begitu tangkas mengikat tali kapal ke besi kukuh di sisi jeti.

Akhirnya, kaki selamat mengijak di jeti dan kami berbaris santun menyalami seorang demi seorang saudara baru yang seakidah dengan kami. Terdetik di hati, oh…inilah wajah-wajah golongan beriman di pulau nan kecil ini. ‘Ya Allah, sesungguhnya agama-Mu ini bukanlah milik eksklusif kami berbangsa Melayu. Buktinya, hari ini mereka yang senyum indah itu 100 peratus berbangsa Cina. Darah yang mengalir memanasi kapilari mereka adalah darah Cina. Otak yang memproses data dan memungkinkan sebarang respons adalah otak Cina. Bahkan hati yang menegari budi sekukuh akar gandarusi juga pastinya hati seorang Cina. Namun, itu semua adalah hasil ciptaan-Mu. Maka, mereka dan kami bersatu walau dibezakan ras atau etnik, sujud menyembah hanya pada-Mu, subhanallah, walhamdulillah, walailahaillallah wallahuakhbar!’

Demikian bersiponggang kalimah memenuhi ruang benak. Terasa betapa bersyukurnya aku terpilih mengekori ziarah ukhuwwah penuh makna ini. Kami berpapasan mengangkut keluar segala jenis barang dari perut kapal. Barangan yang pelbagai, dari hamper, alatan sukan dan riadah, bahan-bahan bacaan sehinggalah kepada alatan beribadah. Disusun cantik teratur di atas troli kayu yang sedari awal tersedia di jeti batu itu. Dari penambang, kami bersama para saudara baru beriringan melangkah laju ke perut Pulau Ketam.

Buat pertama kali rasanya menjejakkan kaki ke satu daerah terasing seperti Pulau Ketam, aku merasakan diri ini seperti di negara China. Jikalah tidak kerana masih ada tulisan berbahasa Melayu menghiasi deretan kedai dan restoran juga sebuah hotel di tepiannya, akalku pasti sukar mentafsirkan di mana daerahku berkelana kala itu. Mereka yang mengelilingi kami semuanya bermata sepet, kulit berpigmentasi kuning keputihan dan bahasa pastinya mempamerkan perbezaan.

Kami dibawa ke Balai Islam Pulau Ketam milik MAIS. Hijau warna melatari papan tanda nama balai itu seolah-olah menunjukkan Islam adalah benih subur yang pasti memberikan harapan yang baik jika bijak digembur di pulau itu. Apabila dibandingkan dengan pakaian kami pula, berbetulan kami hari itu mengenakan seragam baju berwarna merah. Hijau dan merah mengambil posisi yang sangat menarik, justeru Islam selalunya ditandai dengan hijau sebagai lambang motivasi dan penuh kemesraan; manakala merah adalah warna garang kesukaan kaum Cina: berani dan ada feng shui kata mereka!

Tidak lama berpanas punggung di balai itu. Kami kemudiaannya dibawa oleh pihak polis dari balai di situ untuk berbasikal menjelajahi pulau. Satu pengalaman manis lagi menarik sebenarnya. Ini kerana, pengangkutan utama di atas pulau nelayan itu sememangnya adalah basikal. Seperkara lagi, kami juga dinasihati dan diperingatkan berulang kali, bahawa hampir 99 peratus perjalanan kami nanti akan melalui pelantar dan jambatan yang menghubungkan keseluruhan pulau. Seorang kawan sempat melawak, katanya: “Jika ada yang terjatuh bersedialah untuk dirakam, aksi menarik sang pengembara di Pulau Ketam,” lalu berderailah suara mengundang riuh gelak tawa kami anggota rombongan.

Kami berpapasan lagi dengan ramai orang, tetapi kali ini di atas basikal dan dengan penduduk pulau yang zahirnya tampak begitu cekatan mengendalikan kenderaan rasmi beroda dua di atas pelantar selebar kira-kira dua depa itu. Aku sendiri awalnya tergawang-gawang lantaran gayat dan goyang mengendalikan basikal yang sememangnya jarang lagi digunakan. Maklumlah, kenderaan rasmi majoriti orang hari ini ialah kenderaan berenjin. Masukkan anak kunci, pulas sahaja apa yang patut atau tekanlah pedal minyak maka mengaum-ngaumlah laju memecut.

Destinasi pertama kami ialah sebuah rumah agak jauh dari jeti, iaitu milik seorang suadara baru bernama Othman Abdullah, seorang warga emas dicempung usia 63 tahun. Sayangnya beliau kini tidak mampu melihat lagi dan tinggal keseorangan di salah sebuah rumah di hujung pulau itu. Pakcik Othman menggambarkan bahawa, walaupun keseorangan namun dia masih mendapat pembelaan dari jiran tetangga, kendatipun hakikatnya dia sudah memilih Islam sebagai cara hidup sejak berusia 20-an lagi.

Setelah bertanya khabar dan menyampaikan sedikit buah tangan, kami sekali lagi melangsungkan perjalanan merentasi pulau ke sebuah rumah lain. Kali ini saya amat tertarik dengan kebersihan rumah itu, yang dimiliki oleh Encik Zainal Lim, 50. Rupa-rupanya, beliau telah pun menganuti agama wahyu ini sejak tahun 1991 lagi. Kebersihan rumahnya seolah-olah menggambarkan apa yang pernah disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW, junjungan akhir zaman bahawa ‘kebersihan itu adalah manifestasi keimanan.’ Sungguh pun secara peribadi beliau dilihat bukanlah muslim yang warak; namun keakuannya sebagai muslim terpamer menerusi keikhlasannya berbicara termasuklah bahawa dia masih menjaga solat dan puasa.

Demi mendapatkan penjelasan yang lebih perihal lenggang lenggok rutin hidup masyarakat yang akidahnya bercampur di sini, sempat juga para wartawan menyinggung cerita dari beberapa individu muallaf yang lain. Tampak mereka begitu ‘sporting’ lagi tidak lokek berkongsi rasa. Hasan Tan, 39 dan Hassan Ng, 68 misalnya menyatakan, mereka mampu hidup harmoni justeru setiap agama yang dianuti menuntut agar penganutnya berbuat baik sesama manusia. Apatah lagi Islam sememangnya menyarankan sedemikian. Lalu, perbezaan agama bukanlah pembeza yang menjarakkan; sebaliknya ia adalah tunjang kekuatan agar mereka terus dapat berkawan dan saling berinteraksi antara satu sama lain.

Mata ini sendiri menjadi saksi hidup, apakala kedatangan kami ke balai Islam itu turut disambut oleh seorang Cina yang masih belum beragama Islam, Encik Tan, 40 yang turut sibuk menyediakan apa yang patut. Bahkan dia turut membawa seorang anak perempuan menyertainya. Dengan tenang dia menyatakan: “Anak-anak kami bermain dengan anak-anak kawan kami yang muslim di sini. Tiada masalah. Bila hari raya kami sambut sama-sama. Contohnya, hari ini apabila orang-orang agama datang, saya pun sambut juga.”

Namun, meneliti penjelasan Amin Lum, 40-an bahawa meneruskan kelestarian Islam di pulau itu bukanlah satu rentetan yang mudah. Beliau yang kini merupakan Ketua Pendakwah mengakui, untuk mengubah mentaliti dan kepercayaan tradisi kaum Cina khususnya di kawasan terpencil itu bukannya kerja main-main. Para pendakwah mesti mempunyai keazaman dan istiqamah, tahan diuji dan pandai menyesuaikan diri. Sikap tidak mudah putus asa juga perlu dibenam sedalam-dalamnya jauh ke dalam lubuk hati, justeru untuk mengecapi hasil kemenangan dalam jangka masa pendek bukanlah tugas yang wewenang seperti mengunyah kekacang. Aku insaf mendengar luahan hati beliau, kerana sememangnya inilah juga yang pernah dilagang oleh Rasulullah SAW lewat catatan sejarah Islam pada 1400 tahun yang lampau.

Hampir jam satu tengahari kami mengayuh lagi basikal untuk kembali ke Balai Islam Pulau Ketam. Rupa-rupanya, balai itu adalah ‘nadi’ umat Islam di sini. Ia adalah surau, ia juga tempat pengajian, ia jugalah menempatkan kerusi meja bagi sebarang acara termasuklah medan merancang dalam pelbagai usaha dakwah di pulau itu. Kami berehat seketika sebelum menjamu selera nasi berlaukkan ketam. Tertelan liur tatkala membayangkan ketam masak kicap yang mengiurkan dihidang bersama sayur campur dan pastinya nasi putih meruwap panas dan juga beberapa ekor ikan masin.

Beberapa ketika kemudian, azan berkumandang membelah langit Pulau Ketam memanggil semua orang beriman sujud menyembah Allah, mendirikan sembahyang dan seterusnya menggapai al-falah. Kami sembahyang bersama, sujud dan berdoa bersama. Rintihan hatiku berbunyi: ‘Ya Allah, jadikanlah manusia beriman di pulau ini kental imannya. Jadikan mereka benih yang subur. Jadikan mereka penyambung akidah yang sahih lagi luhur. Amin…’

Sehabis berbicara demi bicara dalam majlis serba ringkas pastinya, kemudian menyampaikan bantuan dan sumbangan seberapa yang ada, kami bersalam-salaman dan berjabat mesra sebelum pamit untuk meninggalkan pulau yang penuh cerita itu. Dalam perjalanan pulang aku merumuskan, bahawa usaha berterusan perlu digiatkan di pulau kecil itu. Fokuskan usaha menyemarakkan iman di dada, tarbiyyah mereka agar mampu mempamerkan akhlak muslim sejati dan yang paling penting, pastikan mereka mampu menerangi kezulmatan akidah pulau itu dengan kandil iman hakiki. Sekurang-kurangnya mereka adalah wakil pendakwah, biarlah siang dan malam mereka berpenat berlelah menguasai laut; namun pada saat itulah lidah tidak henti berzikrullah dan anggota tubuh asyik terus beribadah. Itulah baru erti kejayaan Islam di pulau ini, demikianlah hatiku menyarankan sebuah kesimpulan.

Bagiku, mereka patut merasakan bahawa Pulau Ketam itu bagaikan ‘penjara’ tanpa jaringan untuk mereka beruzlah. Uzlah dalam mencari arah. Uzlah bermaksud membawa hijrah dan al-falah. “Maafkan ku ya Allah, jika aku hanya bisa mencoretkan sahaja lantaran aku sendiri begitu dangkal dan tohor usaha dalam mengolah percaturan disana…”

Dedikasi: Penghargaan dan terima kasih kepada YAD Dato’ Setia Hj Mohamad Adzib Mohd Isa, Pengerusi MAIS; YBhg Dato' Haji Abdul Ghani bin Pateh Akhir, Orang Besar Daerah Klang; Tuan Hj. Abdul Rahim Salleh, Pegawai Agama Islam Daerah Klang; Tuan Hj. Ahmad Shahir Makhtar, Pengurus Besar LZS (MAIS); kakitangan Unit Pembangunan Insan MAIS; warga dakwah LZS (MAIS); tidak lupa Jabatan Laut Malaysia, Balai Polis Pulau Ketam, Bahagian Pengangkutan JAIS dan teramat khusus kepada wakil-wakil korporat dan juga wakil-wakil media yang menatijahkan ziarah ini menjadi garapan bermakna buat kami penganjurnya, alfun syukran.

-TAMAT-

Monday, October 30, 2006

Assalamua'laikum warahmatullah

Assalamu'alaikum

Salam

Assalamu'alaikum